Bersediakah rakyat mendepani landskap baharu ekonomi pasca COVID-19?

Perubahan-perubahan yang dibawa oleh tsunami COVID-19 memberi ruang dan peluang untuk kita manfaatkan sepenuhnya. – Gambar hiasan/Bernama

MASIH ingatkah kita kepada Tsunami tahun 2004 yang telah mengubah secara total lanskap muka bumi Banda Aceh, Indonesia? Itulah perumpamaan yang paling sesuai untuk mengambarkan pengaruh pandemik COVID-19 ke atas ekonomi.

Pandemik COVID-19 yang melanda negara dan dunia pada ketika ini umpama seperti Tsunami 2004 yang bakal mengubah landskap ekonomi Malaysia. Bersediakah kita untuk mendepani corak amalan dan gelagat ekonomi pasca COVID-19?

Di sini penulis mengariskan beberapa bidang yang dijangka akan berlaku perubahan ketara di era pasca COVID-19.

Pasaran buruh yang lebih fleksibel.

Tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) memberi ruang 'eksperimen' kepada syarikat perniagaan untuk menilai keberkesanan kaedah bekerja dari rumah. Ini memungkinkan syarikat mengurangkan ruang perniagaan dan pastinya menjimatkan kos. Lebih ramai 'pekerja bebas' (freelancers) dijangka akan wujud. Bagaimana pula dengan kebajikan pekerja di di bawah sistem pasaran buruh yang fleksibel ini? Adakah sistem sebegini memberi lebih pendapatan kepada pekerja?

Peningkatan ekonomi digital.

Kadar penyertaan aktiviti ekonomi bersifat maya yang menggunakan aplikasi digital akan meningkat. Jadi, keseimbangan permintaan dan penawaran akan berlaku secara maya atau dalam talian. Situasi ini dijangka akan menguntungkan penjual kerana kurang kebergantungan kepada khidmat orang tengah yang bertindak sebagai pemborong dan peruncit.

Peningkatan pengunaan elektrik dan bahan api.

Peningkatan penggunaan aplikasi digital bermakna peningkatan penggunaan tenaga elektrik. Penghantaran barangan kepada pengguna akan meningkatkan penggunaan bahan api dan juga menyumbang kepada pencemaran karbon. Wujud kemungkinan juga orang ramai akan kurang bergantung kepada perkhidmatan awam. Ini juga akan menyumbang kepada peningkatan penggunaan bahan api. Bersediakah syarikat pembekalan tenaga elektrik dan bahan api menyokong pertambahan permintaan ini? Bersediakan rakyat untuk membayar harga lebih tinggi untuk tenaga elektrik dan bahan api?

Perubahan sistem pendidikan tinggi.

Tempoh PKP telah memberi ruang kepada pengajaran dan pembelajaran secara maya. Jika ini boleh dilakukan, ianya pasti akan menjimatkan kos operasi institusi pengajian tinggi. Tidak lagi perlu kepada dewan kuliah yang besar dalam kuantiti yang banyak. Yuran pengajian juga sepatutnya lebih murah kerana penjimatan di dalam kos operasi.

Perubahan hub pengeluaran dunia.

Pada ketika ini terdapat tiga hub pengeluaran dunia iaitu China di rantau Asia, Jerman di rantau Eropah dan Amerika Syarikat di benua Amerika. COVID-19 yang melanda China telah menganggu pengeluaran di negara-negara lain kerana kekurangan bahan mentah yang dibekalkan oleh China. Untuk mengurangkan risiko rantaian nilai global, wujud kemungkinan negara-negara di dunia kembali mengamalkan konsep menjaga diri (self sustain) dan cenderung untuk berpusatkan tempatan (localization).

Perubahan-perubahan yang dibawa oleh tsunami COVID-19 memberi ruang dan peluang untuk kita manfaatkan sepenuhnya. 


* Prof. Madya. Dr. Mohd Yusof Saari adalah pemegang ijazah PhD daripada University of Groningen, the Netherlands. Beliau merupakan pensyarah di Sekolah Perniagaan dan Ekonomi, UPM.

** Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mencerminkan pandangan Universiti Putra Malaysia.