COVID-19: Adakah alam sedang bertindak balas terhadap kealpaan manusia?

COVID-19, berpunca dari koronavirus yang meletus di negara China Disember lepas, sebelum mula melebarkan sayap kemusnahannya ke seluruh dunia, menjangkiti lebih 1.2 juta umat manusia. – Gambar hiasan

KUALA LUMPUR: Adakah ketika ini alam sedang merencanakan pembalasan buat umat manusia yang terlalai dalam melaksanakan kewajipan mereka di muka bumi?

Semasa COVID-19 sedang menggila di seluruh dunia, soalan yang bermain di fikiran kini ialah – adakah ini tanda-tanda bahawa alam sedang mengatur pembalasan terhadap perbuatan umat manusia yang selama ini rakus merosakkan apa yang dianugerahkan kepada mereka – udara segar, air bersih, hidupan liar, hutan rimba, dan sebagainya.

Persoalanan timbul sama ada pandemik COVID-19 ini adalah cara alam semula jadi membalas perbuatan manusia yang melampaui batas, tidak menghiraukan undang-undang yang digubal sendiri, mengotorkan udara, mencemar air, memusnahkan hutan dan membunuh hidupan liar sesuka hati.

Tidak dinafikan bencana berlaku dari semasa ke semasa – kemarau, banjir, gempa bumi dan sebagainya, namun ia tidak berlaku serentak di seluruh dunia seperti mana yang sedang berlaku ketika ini, yang memaksa seluruh penduduk dunia duduk di rumah, tidak berbuat apa-apa, hanya menunggu.

Adakah manusia sedang diberi pengajaran supaya sedar dan insaf – buat kali terakhir.

Di seluruh dunia, segala aktiviti terhenti – pelancongan, perniagaan, semuanya tidak bermaya, dan pengangguran berleluasa, harga minyak pula terus merudum, dan entah apa lagi malapetaka yang sedang menanti.

Rata-rata di seluruh dunia tidak banyak lagi deruman pesawat udara membelah awan membawa pelancong bercuti, kecuali penerbangan yang membawa bantuan perubatan serta peralatan perlu, dan kenderaan persendirian pula banyak "tersadai" di rumah, tidak lagi bertali arus di jalan raya, kecuali satu dua yang membawa barang-barang keperluan penting.

Kebanyakan bekerja dari rumah, kecuali petugas di barisan hadapan yang merawat pesakit, di samping pihak berkuasa yang bertungkus-lumus berusaha bersungguh-sungguh memastikan orang ramai "duduk di rumah", tanpa mengira waktu dan keadaan.

COVID-19, berpunca dari koronavirus yang meletus di negara China Disember lepas, sebelum mula melebarkan sayap kemusnahannya ke seluruh dunia, menjangkiti lebih 1.2 juta umat manusia dan meragut kira-kira 65,000 nyawa.

Mungkin sedikit sinar harapan yang dapat dihargai ketika ini adalah satu perempat daripada sejuta orang yang dijangkiti penyakit yang berasal dari kora Wuhan, China itu, telah sembuh. Di China, lebih 81,000 orang telah dijangkiti, dan lebih 3,000 orang telah meninggal dunia.

Amerika Syaikat pula.mencatatkan jumlah jangkitan yang tertinggi, menjangkau lebih 300,000 dan Itali mencatatkan jumlah kematian tertinggi, lebih 15,000.

Di Malaysia COVID-19 telah menjangkiti lebih 3,000 orang, meragut 61 nyawa, manakala lebih 1,000 telah sembuh.

Berbalik kepada alam, mungkin apa yang kita lihat hari ini adalah kesan amarahnya kepada gejala pencemaran udara – dari kota sehingga ke desa, yang dikatakan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sebagai ancaman kepada ilkim dan kesihatan.

Namun, adakah orang ramai benar-benar ambil peduli hakikat pencemaran udara dianggar membunuh tujuh juta manusia di seluruh dunia setiap tahun? Sekiranya dia sendiri tidak terkesan dengan pencemaran itu, angka besar itu tidak membawa apa-apa makna kepadanya.

Di seluruh dunia manusia terus mencemar udara dengan asap kenderaan, asap kilang dan pembakaran terbuka.

Contoh paling dekat pembakaran hutan di sekitar rantau ini yang mengakibatkan beberapa negara ASEAN terkesan dengan masalah jerebu, hampir setiap tahun.

Natural Resources Defence Council (NRDC), yang merupakan sebuah petubuhan bukan kerajaan berpengkalan di Amerika Syarikat yang berusaha menjaga keselamatan bumi, penghuninya, hutan, serta haiwan dan sistem semulajadi berkata, ketika ini manusia sedang menenggelamkan ekosistem marin di dalam sampah, bunyi, minyak dan pelepasan karbon.

Menurutnya impak kepada pencemaran laut sebegini memburukkan keadaan laut, pada kadar yang amat membimbangkan.

Kebanyakan sampah yang dihumban ke laut adalah berasaskan plastik, ramai yang tahu hakikat ini. Bukankah kita telah lihat bagaimana ada penyu yang mati akibat tidak dapat menghadam plastik yang dibuang ke laut yang membunuhnya. Lihat sahaja bagaimana sukarnya ketika ini melihat penyu mendarat untuk bertelur di Terengganu, tidak seperti suatu ketika dahulu.

Pencemaran air pastinya mengembalikan ingatan semua kepada pencemaran toksik Sungai Kim Kim di Johor pada bulan Mac tahun lepas, berpunca daripada pembuangan sisa kimia, yang menjejaskan kesihatan 6,000 orang, dan menghantar 2,775 ke wad hospital.

Tidak ketinggalan kemusnahan hutan, apabila ia diteroka bagi tujuan pertanian, pembalakan, pembinaan jalan dan sebagainya.

*M Govinair adalah Sub-editor kepada agensi berita Bernama