Kecelaruan personaliti: Apa yang perlu kita tahu?

Dari segi statistik, dianggarkan kira-kira 9 sehingga 15 peratus dari penduduk dunia mempunyai masalah kecelaruan personaliti. – Unsplash

ANTARA jenis kecelaruan mental yang jarang dibicarakan adalah kecelaruan personaliti atau ‘personality disorder'.

Namun demikian, ia merupakan sejenis kecelaruan mental yang biasa ditemui oleh pakar psikiatri yang merawat masalah kecelaruan mental.

Pernahkah anda terfikir atau bertemu dengan individu yang mempunyai cara pemikiran yang berbeza dengan kebanyakan orang lain?

Atau pernahkan anda merasakan bahawa cara rakan anda mencerap sesuatu perkara, melihat sesuatu situasi, menangani masalah dan bertindak adalah tidak seperti yang sepatutnya dilakukan oleh seseorang yang berada dalam situasi yang sama?

Ini mungkin disebabkan oleh kecelaruan personaliti yang dialami.

Bagaimanapun, bukan mudah untuk mendiagnosis kecelaruan personaliti ini dibuat kerana sesorang individu itu perlu memenuhi kriteria tertentu untuk didiagnosis.

Apakah kecelaruan personaliti?

Setiap individu sebenarnya mempunyai personaliti yang tersendiri yang membentuk ciri-ciri seseorang individu itu berfikir, berinteraksi serta menjalani kehidupan harian tetapi hanya segelintir sahaja yang mempunyai masalah kecelaruan personaliti.

Terdapat banyak jenis kecelaruan personaliti tetapi antara jenis-jenis kecelaruan personaliti yang mungkin anda pernah dengar adalah jenis paranoid, anti-sosial dan narsistik.

Kecelaruan personaliti merupakan sejenis kecelaruan mental di mana seorang individu itu mempunyai corak pemikiran, imej diri, kefungsian dan tingkah laku yang tidak fleksibel.

Cara mereka melihat sesuatu keadaan itu berbeza dari individu normal.

Ini menyebabkan mereka sukar untuk menyesuaikan diri dalam pelbagai situasi sehingga menimbulkan masalah dalam perhubungan, kehidupan sosial serta pekerjaan.

Ia lebih bersifat kekal dan tidak fleksibel sehingga menyebabkan tekanan ke atas individu tersebut.

Masalah yang sering timbul dalam tingkah laku kecelaruan personaliti biasanya melibatkan kegagalan mengawal diri sendiri dan menghadapi kesukaran untuk membina perhubungan yang rapat dengan orang lain.

Namun demikian, ada yang tidak menyedari bahawa mereka mempunyai kecelaruan personaliti kerana mereka merasakan bahawa cara mereka berfikir serta bertindak adalah semulajadi bagi diri mereka.

Ini membuatkan mereka cenderung menyalahkan orang lain atas kesulitan atau cabaran yang dialami oleh diri mereka.

Kecelaruan personaliti biasanya bermula ketika remaja atau awal usia dewasa.

Ia hanya boleh didiagnosakan setelah berusia 18 tahun kerana sebelum usia itu, personaliti sesorang itu belum lagi terbentuk sepenuhnya.

Dari segi statistik, dianggarkan kira-kira 9 sehingga 15 peratus dari penduduk dunia mempunyai masalah kecelaruan personaliti.

Terdapat pelbagai jenis kecelaruan personaliti yang telah dikenal pasti.

Di Amerika Syarikat (AS), dianggarkan sebanyak sembilan peratus rakyatnya  mempunyai sekurang-kurangnya satu jenis kecelaruan personaliti manakala di kalangan pesakit psikiatri pula, kira-kira 40 sehingga 60 peratus mempunyai kecelaruan ini.

Kecelaruan personaliti boleh dibahagikan kepada tiga kumpulan atau kluster yang mana jenis personaliti yang diletakkan dalam satu kumpulan mempunyai ciri atau tingkah laku yang agak sama, iaitu:

1) Kluster A merupakan sekumpulan personaliti yang mempunyai ciri-ciri atau sifat aneh dan eksentrik (Odd and eccentric).

Ia terdiri daripada  kecelaruan personaliti schizoid, kecelaruan personaliti paranoid dan kecelaruan personaliti skizotypal.

Kebanyakkan mereka lebih gemar menyendiri serta mempunyai pemikiran yang dianggap aneh oleh orang lain.

Mereka yang mempunyai kecelaruan personaliti dalam kluster ini mempunyai risiko untuk mendapat kecelaruan psikosis.

2) Kluster B merupakan sekumpulan personaliti yang mempunyai ciri-ciri atau sifat dramatik dan emosional.Ia terdiri daripada kecelaruan personaliti anti sosial, kecelaruan personaliti ‘borderline’ dan kecelaruan personaliti narsissistik.

Mereka yang mempunyai kecelaruan personaliti dalam kluster ini mempunyai risiko untuk mendapat kecelaruan emosi atau kemurungan.

3) Kluster C merupakan sekumpulan personaliti yang mempunyai ciri-ciri atau sifat kerisauan dan ketakutan (Anxious and fearful).

Ia terdiri daripada kecelaruan personaliti pengelakan (avoidant), kecelaruan personaliti kebergantungan (dependent) dan kecelaruan personaliti obsesif kompulsif.

Mereka yang mempunyai kecelaruan personaliti dalam kluster  ini mempunyai risiko untuk mendapat kecelaruan keresahan (anxirty disorder).

Apakah punca kecelaruan personaliti?

Walaupun punca yang tepat tidak diketahui, namun terdapat pelbagai faktor risiko yang dikaitkan dengan kecelaruan personaliti. Antaranya ialah:

● Faktor genetik: Mempunyai sejarah keluarga yang mempunyai kecelaruan personaliti atau penyakit mental.

● Peristiwa trauma atau tekanan hidup yang berpanjangan.

● Kehidupan zaman kanak-kanak yang sukar, contohnya keadaan keluarga yang tidak stabil, didera atau diabaikan.

● Pernah mengalami kecederaan otak.

● Ketidakseimbangan bahan kimia di dalam otak.

Bagaimana pesakit kecelaruan personaliti didiagnosis?

Diagnosis akan dibuat berpandukan kriteria yang ditetapkan dalam Diagnostic Statistical Manual 5th edition (DSM-5) oleh American Psychiatric Association (APA).

Maka, bukanlah mudah untuk terus melabelkan seseorang itu mengalami kecelaruan personaliti kerana ia perlu memenuhi kriteria tertentu.

Proses diagnosis penyakit ini melibatkan penilaian secara temu bual yang komprehensif antara pegawai perubatan atau pakar psikiatri dengan pesakit.

Adakalanya lebih dari satu sesi diperlukan untuk mengesahkan diagnosis ini.

Sejarah penyakit, trauma atau pengalaman lampau, cara mengendalikan tekanan serta ciri ketara individu akan diambil maklum serta dinilai dengan teliti.

Adalah penting untuk mengambil maklum tentang cara individu tersebut berfikir serta bertindak dalam pelbagai situasi.

Selain daripada mendapatkan sejarah daripada pesakit, ahli keluarga turut ditemu bual bagi mendapatkan gambaran yang lebih jelas mengenai ciri-ciri atau gejala serta kesannya terhadap individu.

Pemeriksaan fizikal serta ujian darah tertentu juga turut dijalankan bagi memastikan bahawa gejala tersebut bukanlah disebabkan oleh penyakit fizikal.

Adakalanya saringan untuk dadah juga turut dilakukan bagi memastikan bahawa apa yang dialami bukanlah disebabkan oleh pengaruh dadah.

Bagaimana pesakit kecelaruan personaliti dirawat?

Rawatan utama untuk masalah ini adalah melalui sesi psikoterapi yang komprehensif di mana individu tersebut akan dibantu untuk mengenalpasti masalah, menguruskan emosi dan tekanan.

Pesakit juga akan turut dibimbing tentang cara menjalinkan hubungan dengan lebih baik serta mengawal sikap negatif yang dialami.

Bagaimanapun, adakalanya ubatan turut diberikan bergantung kepada gejala yang dialami oleh individu tersebut.

Antara ubatan yang biasanya diberikan adalah jenis anti-kemurungan, anti-keresahan, penstabil emosi serta anti-psikotik.

Selain dari itu, pengamalan gaya hidup yang sihat serta sokongan yang baik daripada keluarga dan rakan-rakan juga dapat membantu dalam menguruskan kecelaruan personaliti yang dialami.

Rujukan:

American Psychiatric Association: Diagnostic and Statistical Manual of Mental Disorders, Fifth Edition. Arlington, VA, American Psychiatric Association, 2013.

Merck Manual Home Health Handbook for Patients & Caregivers. Overview of Personality Disorders.

Saß, H. (2001). “Personality Disorders”, pp. 11301-11308 in Smelser, N. J. & Baltes, P. B. (eds.) International encyclopedia of the social & behavioral sciences, Amsterdam: Elsevier doi:10.1016/B0-08-043076-7/03763-3 ISBN 978-0-08-043076-8


* Penulis adalah Setiausaha Persatuan Psikiatri Malaysia (MPA)

** Penulisan artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan sidang pengarang Astro AWANI