Keselamatan makanan, tanggungjawab kita bersama

Pemilihan dan penggunaan bahan mentah yang baik dan selamat adalah sangat penting dalam penghasilan makanan yang selamat untuk dimakan. – https://www.pexels.com

BERDASARKAN hasil kajian pertama daripada analisis mengenai beban yang ditanggung di seluruh dunia akibat penyakit bawaan makanan yang dikeluarkan pada tahun 2015 oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), dianggarkan seramai 600 juta orang (1 daripada 10 orang) jatuh sakit selepas mengambil makanan yang tercemar.

Hal ini telah menyebabkan 420,000 kematian setiap tahun di seluruh dunia, di mana satu pertiga atau 125,000 daripadanya melibatkan kanak-kanak berusia lima tahun ke bawah.

Akibatnya, dunia kehilangan 33 juta tahun kehidupan yang sihat setiap tahun.

Lebih 200 penyakit dari cirit birit hinggalah kepada kanser disebarkan melalui makanan yang tercemar sama ada secara fizikal, kimia atau pun biologi.

Penyakit bawaan makanan menghalang perkembangan sosioekonomi dengan menekan sistem penjagaan kesihatan, serta merugikan ekonomi, pelancongan dan perdagangan negara.

Pada tahun 2018, Bank Dunia menganggarkan negara berpendapatan rendah dan sederhana kehilangan produktiviti bernilai USD 95.2 billion dengan kos rawatan USD 15 billion setiap tahun disebabkan penyakit bawaan makanan.

Di Malaysia, kes keracunan makanan dilaporkan meningkat sebanyak 23.69 peratus pada tahun 2018 iaitu sebanyak 496 kes berbanding 401 kes pada tahun 2017.

Manakala pada tahun 2019, sepanjang bulan Syawal (Jun dan Julai) sahaja, sebanyak 1,995 kes melibatkan 53 episod keracunan makanan dilaporkan.

Terdapat tiga faktor utama yang menyebabkan sesuatu makanan itu tercemar, iaitu :

1- Bahan mentah

2- Kaedah pengendalian makanan

3- Pengendali makanan

Bahan mentah

Bahan mentah yang telah luput, rosak atau tercemar akan menyebabkan pelbagai penyakit bawaan makanan yang boleh memudaratkan manusia.

Oleh itu, pemilihan dan penggunaan bahan mentah yang baik dan selamat adalah sangat penting dalam penghasilan makanan yang selamat untuk dimakan oleh manusia.

Setiap individu perlu mendapatkan maklumat yang tepat dan betul mengenai kaedah pemilihan bahan mentah yang baik. Sebagai contoh dengan melihat kepada keadaan fizikal makanan, pembungkusan dan tarikh luput.

Kaedah pengendalian makanan

Bagi memastikan penghasilan makanan yang bersih dan selamat, kaedah pengendalian yang betul di sepanjang rantaian proses penghasilannya bermula dari pemilihan bahan mentah sehinggalah ke penghidangannya (from farm to table) adalah sangat penting.

WHO dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah mengeluarkan panduan berkaitan lima kunci  keselamatan makanan iaitu :

1- Jaga kebersihan – cuci tangan, peralatan dan permukaan bersentuhan makanan dengan kerap

2- Gunakan air dan bahan mentah yang selamat

3- Asingkan bahan makanan bagi mengelakkan pencemaran silang

4- Masak dengan cara dan pada suhu yang betul

5- Simpan makanan pada suhu yang selamat – elak dari menyimpan makanan pada zon suhu bahaya (5 – 63°C)

Pengendali makanan

Berdasarkan kajian pada 1996 oleh Howes et. al. sumber utama iaitu 97 peratus pencemaran makanan adalah disebabkan oleh pengendali makanan itu sendiri.

Pengendali makanan yang berpenyakit atau pengotor iaitu tidak mengamalkan amalan kebersihan diri yang baik dapat menyebarkan penyakit bawaan makanan kepada orang lain melalui makanan yang disediakan oleh mereka.

Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009 mewajibkan setiap pengendali makanan untuk mengikuti program Latihan Pengendali Makanan (Peraturan 30) bagi mendedahkan mereka kepada kaedah pengendalian makanan yang selamat.

Selain itu, mereka juga diwajibkan untuk menjalani pemeriksaan perubatan dan mendapatkan suntikan vaksin anti-tifoid (Peraturan 31) bagi memastikan bebas dari sebarang penyakit bawaan makanan.

Kegagalan pengendali makanan memenuhi kehendak perundangan tersebut merupakan suatu kesalahan dan boleh didenda sehingga RM10,000 atau dipenjarakan sehingga dua tahun.

Inisiatif kerajaan

Bagi memastikan keselamatan makanan dalam negara memuaskan dan terkawal, terdapat pelbagai usaha serta inisiatif yang telah dilakukan oleh pihak kerajaan khususnya KKM.

Penggubalan Akta Makanan 1983 dan Peraturan-Peraturan Makanan 1985 dikuatkuasakan pada Oktober 1985 bagi menggantikan Ordinan Jualan Makanan dan Dadah 1952 adalah antara inisiatif terbesar kerajaan dalam memenuhi keperluan perundangan makanan negara.

Sejajar dengan kemajuan negara serta perkembangan industri makanan dunia, pelbagai undang-undang dan peraturan berkaitan telah dipinda dan diwujudkan termasuklah Akta Juruanalisis Makanan 2011.

Pada tahun 2001, kerajaan telah menubuhkan Majlis Keselamatan Makanan dan Pemakanan Kebangsaan (MKMPK) sebagai badan penasihat tertinggi kepada kerajaan dalam segala hal berkaitan keselamatan makanan dan pemakanan.

Selain itu, KKM turut menubuhkan sebuah bahagian khusus bagi mengendalikan semua urusan berkaitan keselamatan sejak tahun 1974 yang kini dikenali Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) yang bertujuan untuk melindungi orang awam dari bahaya kesihatan dan penipuan dalam penyediaan, penjualan dan penyimpanan makanan.

BKKM telah merangka dan melaksanakan pelbagai garis panduan, latihan, program, serta pensijilan dalam memperkasakan keselamatan makanan seperti Makanan Selamat Tanggungjawab Industri (MeSTI), Bersih, Selamat dan Sihat (BeSS), Trust MyCatering, Food Defense, Good Manufacturing Practice (GMP), Hazard Analysis and Critical Control Points (HACCP), dan lain-lain lagi.

Selain KKM, agensi- agensi lain yang terlibat dalam pengawalan keselamatan makanan juga turut memperkenalkan program masing-masing bagi memenuhi kehendak bidang kuasa mereka, contohnya Sijil Kesihatan Veterinar (Veterinary Health Certificate – VHM) dan Skim Amalan Ladang Ternakan (SALT) oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar, Skim Amalan Pertanian Baik Malaysia (myGAP) oleh Jabatan Pertanian, serta Skim Amalan Akuakultur Baik (SAAB) dan Skim Persijilan Ladang Akuakultur Malaysia (SPLAM) oleh Jabatan Perikanan.

Hari Keselamatan Makanan Sedunia

Sejak 2019, Pertubuhan Makanan dan Pertanian (FAO) dan WHO menetapkan 7 Jun setiap tahun sebagai Hari Keselamatan Makanan Sedunia untuk menarik perhatian dan menginspirasi tindakan bagi membantu mencegah, mengesan dan mengurus risiko bawaan makanan, menyumbang kepada sekuriti makanan, kesihatan manusia, kemakmuran ekonomi, pertanian, akses pasaran, pelancongan dan pembangunan lestari.

Dengan tema Keselamatan Makanan, Tanggungjawab Kita Bersama, semua pihak sama ada kerajaan, pengeluar dan pengguna berperanan untuk memastikan makanan yang dimakan adalah selamat dan tidak menjejaskan kesihatan kita bertepatan dengan konsep ‘dari ladang ke meja’ (from farm to table).

Setiap individu berhak untuk mendapatkan makanan yang selamat, berkhasiat dan mencukupi.


* Penulis adalah Perunding Keselamatan & Kesihatan Awam, Safety Management Academy Sdn Bhd.

** Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan sidang pengarang Astro AWANI.