Moratorium: Tiada kekeliruan jika ikut cadangan REACH

REACH kekal dengan pendirian kami bahawa rakyat telah banyak berkorban dengan pelaksanaan PKP dan mereka sepatutnya dibantu. – Gambar Hiasan

REACH berpendirian rakyat tidak sepatutnya dibebankan dengan caj atau apa-apa kos tambahan bagi moratorium pinjaman bank.

Pendirian kami ini telah kami nyatakan di dalam satu kenyataan bertarikh 25 Mac 2020.

Jika kerajaan melaksanakan cadangan kami maka kekeliruan yang berlaku sejak beberapa hari yang lepas tidak akan wujud.

REACH kekal dengan pendirian kami bahawa rakyat telah banyak berkorban dengan pelaksanaan PKP dan mereka sepatutnya dibantu.

REACH yakin bank-bank tidak akan bankrap jika mereka menanggung kos tambahan ini.

Ada yang berkata bank bukan badan kebajikan tetapi mereka lupa sumbangan rakyat biasa ketika PKP ini dan diharap Bank Negara sedar akan hakikat ini.

Rakyat biasa telah mengalami kerugian kerana terpaksa menerima potongan gaji, hilang punca pendapatan kerana tidak dapat berniaga seperti biasa atau terpaksa menggunakan simpanan hari tua mereka di dalam akaun KWSP.

Ada pula yang berkata kos tambahan ini kecil walau bagaimanapun pada kami ia bukan masalah nilai tetapi masalah kesungguhan. Kesungguhan bank-bank untuk bersama dengan rakyat berhadapan dengan pandemik ini.

Kami yakin sebarang halangan dari sudut pentadbiran dan perundangan, jika ada, dapat diselesaikan oleh Bank Negara.


* Penulis ialah bekas Exco Perumahan Negeri Selangor (2008 – 2018), kini Ketua Penyelaras Pusat Sumber Untuk Memajukan Masyarakat dan Perumahan (REACH).

** Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan Astro AWANI.