Rakyat ambil alih peranan lawan COVID-19 daripada barisan hadapan

Rakyat perlu menerapkan budaya baharu yang atau ‘new normal’ yang sering ditekankan oleh pucuk pimpinan kerajaan. – ASTRO AWANI / SHAHIR OMAR

KERAJAAN telah menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) bermula 10 Jun  sehingga Ogos dengan harapan mencegah wabak COVID-19 di dalam negara.

Malah, kerajaan turut menggesa rakyat menerap normal baru, termasuk megamalkan prosedur operasi standard (SOP) yang ditentukan dalam kehidupan harian untuk mengelak daripada kebolehjangkitan virus korona yang menyebabkan pandemik berkenaan.

Dalam fasa PKPP, syarat-syarat ketat terhadap pergerakan sebelum ini dilonggarkan dan rakyat dibenarkan untuk bergerak secara bebas dalam negara.

Aktiviti ekonomi yang mencakupi pelbagai bidang, termasuk pembukaan semula kedai gunting dan salun kecantikan dibenarkan.

Malahan, masjid dan lain-lain tempat beribadat saperti tokong dan kuil juga dibenarkan dengan syarat yang ditetapkan.

Namun, timbul satu persoalan? Adakah kelonggaran tersebut bermakna ancaman pandemik COVID-19 sudah tiada lagi di dalam negara?

Perlu sedar

Rakyat perlu sedar bahawa pertempuran menentang ancaman pandemik COVID-19 oleh negara yang dilancarkan barisan hadapan dengan kerjasama rakyat tanpa mengira kaum, umur dan lokaliti tamat dengan kemenangan memihak kepada kerajaan.

Meskipun Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menghadapi pelbagai tohmahan, cabaran dan permainan politik yang mengganggu minda, tetapi beliau lebih menumpukan kepada usaha menyelamatkan rakyat daripada menjadi mangsa kepada COVID-19.

Rakyat harus berbangga dengan kejayaan kerajaan kepimpinan Muhyiddin dalam isu mencegah COVID-19. 

Akan tetapi, peperangan untuk membendung ancaman COVID-19 secara tuntas belum lagi selesai, malah perjuangan secara habis-habisan terhadap COVID-19 perlu diteruskan untuk memastikan rakyat Malaysia bebas sepenuhnya daripada ancaman pandemik ini.

Boleh dikatakan bahawa semasa fasa PKPP, pihak barisan hadapan akan keluar beransur-ansur daripada medan peperangan melawan COVID-19.

Dengan itu, tanggungjawab untuk melawan dan membendung penularan COVID-19 dipindahkan ke bahu rakyat sendiri dengan pasukan hadapan berperanan sebagai ‘pasukan sokongan’ kepada usaha mencegah pandemik itu.

Maka, setiap anggota masyarakat kini perlu lebih peka dan lebih bertanggungjawab untuk memainkan peranaan dalam melindungi diri, keluarga, masyarakat dan negara.

Pengalaman lepas di negara-negara lain menunjukkan sikap rakyat yang keluar beramai-ramai tanpa sebarang kawalan apabila perintah pergerakan ditamatkan mampu mencetuskan jumlah kes positif lebih tinggi.

Apatah lagi, gejala atau simptom COVID-19 (asymptomatic carrier) pada seseorang individu boleh menjangkiti orang lain tanpa disedari.

Sebagai contoh, kita melihat wabak French Flu yang menyerang dunia, terutamanya negara-negara Barat  pada tahun 1918.

French Flu merupakan wabak berbahaya yang disebabkan oleh virus (influenza).

Dianggarkan sebanyak 500 juta orang dijangkiti wabak ini dan hampir 50 juta meninggal dunia.

Menurut laporan, sebahagian besar manusia menjadi mangsa wabak ini dalam gelombang kedua apabila perintah kawalan dilonggarkan.

Pergerakan dan pergaulan tanpa had dan juga penggunaan kenderaan awam seperti dahulu kala adalah antara punca utama mengapa jumlah kes French Flu meningkat dengan mendadak.

Oleh itu, rakyat Malaysia perlulah menerapkan budaya baharu yang atau ‘new normal’ yang sering ditekankan oleh pucuk pimpinan kerajaan.

Rakyat perlulah mengambil perhatian yang lebih teliti terhadap SOP,  terutamanya dalam amalan penjarakan sosial yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Antara SOP yang harus dipatuhi oleh semua rakyat adalah mengelak berjabat tangan semasa bertemu orang lain dan digantikan dengan amalan meletakkan tangan di dada sebagai tanda hormat di samping mengucapkan salam bagi menggantikan bersalaman.

Umumnya, masyarakat beragama Islam dan Kristian akan menyambut tetamu dengan cara berjabat tangan sambil mengucapkan salam sejahtera sebagai tanda hormat dalam mengukuhkan silaturrahim antara mereka.

Sebaliknya, masyarakat Hindu pula mengamalkan budaya memancakkan tangan di hadapan tetamu sambil mengucapkan ‘vanakam’ atau ‘namaste’ sebagai tanda hormat kepada tetamu dengan menyatukan jari kedua-dua tangan.

Malah masyarakat India juga mengekalkan jarak sosial lebih kurang satu meter apabila bertemu tetamu dan tidak bersentuhan seperti diamalkan masyarakat Barat.

Gesaan WHO

Kini, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sendiri menggesa seluruh dunia untuk mengelakkan budaya berjabat tangan dan mengekalkan jarak sosial satu meter antara mereka sebagai kaedah untuk menggelakkan jangkitan COVID-19.

Sejak tercetusnya pandemik ini, pemimpin dunia dan masyarakat Barat sudah meninggalkan budaya berjabat tangan sebaliknya mengamalkan kaedah meletakkan tangan kanan di atas dada sebagai tanda hormat.

Di samping itu, orang ramai juga perlu lebih berhati-hati terhadap kemungkinan tercetusnya satu lagi gelombang pandemik COVID-19 dalam negara sekiranya rakyat cuai untuk mengamalkan SOP yang disarankan kerajaan.

Orang ramai juga sewajarnya mengambil pedoman daripada  peristiwa banjir besar semasa Zaman Nabi Nuh.

Meskipun berada di dalam bahtera selama lebih setahun untuk melindungi diri daripada bencana banjir besar, Nabi Nuh dan anak buahnya tidak keluar  daripada bahtera sewenang-wenangnya tanpa memastikan keselamatan mereka terjamin.

Jadi, rakyat perlu sentiasa berhati-hati dengan memeriksa persekitaran terlebih dahulu sebelum keluar daripada rumah untuk menjamin keselamatan diri.

Tanggungjawab untuk melindungi diri kini menjadi tanggungjawab masing-masing.


* Datuk M. Periasamy merupakan seorang penganalisis politik, budaya dan tamadun India.

** Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan sidang pengarang Astro AWANI.