Rakyat gembira dan lega dengan PRIHATIN

PRIHATIN akan membantu hampir semua rakyat yang kehilangan sumber pendapatan yang terkesan dengan PKP yang dikuatkuasakan dalam negera. – Gambar Astro AWANI

RAKYAT daripada pelbagai kaum menzahirkan kelegaan dan rasa gembira di atas pengumuman Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) oleh kerajaan pimpinan Tan Seri Muhyiddin Yassin.

Pakej PRIHATIN ini melibatkan peruntukan sebanyak RM250 bilion yang akan memberikan manfaat kepada setiap warga Malaysia di semua peringkat secara langsung atau tidak langsung.

Tatkala rakyat tertekan dengan penularan wabak COVID-19 yang melanda Malaysia sejak awal bulan Mac tahun ini dan secara langsung menjejaskan gaya hidup hampir semua golongan masyarakat, pengumuman tersebut dijangka meringkankan beban kehidupan malah menyejukkan hati  hampir setiap warga Malaysia.

Pakej PRIHATIN akan membantu hampir semua rakyat yang kehilangan sumber pendapatan yang terkesan dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikuatkuasakan dalam negera.

Pakej Rangsangan Ekonomi

Melalui pakej ransangan ekonomi ini, setiap individu baik pelajar, pekerja swasta, penjawat awam, peniaga, pengusaha, golongan orang kelainan upaya (OKU), pemandu teksi mahupun penganggur mendapat manfaat sepenuhnya menerusi peruntukan-peruntukan yang disediakan khas di bawah pakej PRIHATIN.

Dapat dilihat dengan jelas bahawa pihak kerajaan bukan hanya menguatkuasakan PKP untuk membendung penularan wabak COVID-19 dalam kalangan rakyat semata-mata, malah turut mengutamakan perkhidmatan kesihatan untuk menjamin kesihatan rakyat agar tidak menjadi mangsa kepada COVID-19.

Untuk itu, pihak kerajaan menambahkan peruntukan asal sebanyak RM500 juta untuk Kementerian Kesihatan kepada RM1 bilion bagi pembelian peralatan dan mendapatkan kepakaran perubatan daripada perkhidmatan kesihatan swasta.

Malah, pihak kerajaan turut meningkatkan kadar elaun khas  daripada RM400 kepada RM600 sebulan bermula April ini sehingga wabak ini berakhir.
  
Dalam pada itu, pihak kerajaan menyediakan peruntukan hampir RM10 bilion untuk  disalurkan kepada golongan B40.

Buat kali pertama, pihak kerajaan turut memperuntukkan bantuan kewangan golongan M40 secara tunai untuk meringankan beban rakyat yang terkesan dengan penularan wabak COVID-19.

Melalui Pakej Ransangan Ekonomi Prihatin Rakyat, hampir empat juta isi rumah akan mendapat RM1,600; 1.1 juta isi rumah akan mendapat RM1,000; hampir tiga juta warga bujang akan mendapat RM800 dan hampir 400 ribu individu bujang yang berpendapatan rendah akan mendapat RM500.

Di samping itu, program Bantuan Sara Hidup (BSH) yang melibatkan kos berjumlah RM3.2 bilion akan turut diteruskan dengan diawalkan pembayarannya.

Pada masa yang sama, hampir 1.5 juta  penjawat awam sama ada tetap atau kontrak diberikan RM500 sehingga RM1,600 mengikut tangga gaji mereka, manakala 850 ribu pesara kerajaan diberikan RM500 sebagai pembayaran one-off.

Pemandu teksi, e-haling dan pelajar Institusi Pengajian Tinggi (IPT) juga diberikan RM600, RM500 dan RM200 masing-masing.

Selain itu, pihak kerajaan juga mengumumkan beberapa inisiatif lain di bawah pakej ini yang merangkumi penangguhan pelbagai pembayaran ansuran bulanan seperti pembayaran sewa, pinjaman, insurans dan sebagainya.

Bahkan, pemberian diskaun ke atas pelbagai kemudahan utiliti termasuk bil elektrik bagi isi rumah dan sektor swasta yang melibatkan pelbagai sektor termasuk komersial dan pelancongan.
 
Pada masa yang sama, kerajaan juga menyediakan peruntukan sebanyak RM5.9 bilion untuk memastikan pihak majikan tidak bertindak memotong gaji pekerja sedia ada, tidak membuang pekerja atau mengarahkan mereka mengambil cuti tanpa gaji bagi tempoh tiga bulan berikutan penguatkuasaan PKP.

Dengan ini, hampir 3.3 juta pekerja swasta di seluruh negara merasa lega  kerana mereka tidak perlu bimbang majikan akan memotong gaji atau membuang mereka dari kerja akibat PKP di seluruh negara.

Dalam pada itu, pesakit COVID-19 yang dimasukkan ke hospital boleh menuntut pendapatan RM50 sehari bagi tempoh 14 hari.

Manakala, pengguna internet  yang dianggarkan lebih 25 ribu orang yang berdaftar juga boleh menggunakan kemudahan internet dengan percuma mulai 1 April sehingga tamat PKP.

 

Kekuatan Muhyiddin

Meskipun Muhyiddin mengambil alih pentadbiran kerajaan pada saat negara menghadapi suasana ketidaktentuan politik, keadaan ekonomi yang merudum kesan daripada kemerosotan ekonomi global, lebih-lebih lagi dengan hasil pendapatan negara yang semakin berkurangan akibat kejatuhan harga minyak dunia dan juga penularan COVID-19 yang memberi impak teruk kepada ekonomi negara dan psikologi rakyat, beliau masih gagah dan kental menakhodakan negara ke arah jalan yang terjamin supaya rakyat dari berbilang kaum akan terus terbela, selamat dan bahagia.
 
Meskipun terdapat suara sumbang yang mengritik kononnya kerajaan kepimpinan Muhyiddin adalah kerajaan  pintu belakang dan Pakej Rangsangan Ekonomi ini tidak dibentangkan dalam Parlimen, sebahagian besar rakyat menzahirkan perasaan puas hati  malah menganggap Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat adalah pakej bantuan rakyat terbaik yang pernah diumumkan kerajaan sehingga kini.

Malah pakej ini merupakan pelan rangsangan ekonomi terbesar di dunia mengatasi United Kingdom (UK), Amerika Syarikat (AS) dan Singapura.

Rakyat perlu sedar bahawa Muhyiddin   menawarkan diri dan menerima pencalonan untuk dilantik sebagai Perdana Menteri Kelapan apabila  negara menghadapi kemelut politik yang teruk dan akan mengundang negara terus untuk terjebak dalam kancah kemelut politik yang berpanjangan berikutan Tun Dr Mahathir Mohamad meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri.

Kerajaan kepimpinan Muhyiddin yang baru dua minggu dibentuk berjaya  mengumumkan Pelan Rangsangan Ekonomi yang mantap dan inklusif dalam membantu rakyat yang menghadapi ancaman COVID-19.

Oleh itu, marilah seluruh rakyat Malaysia dari utara hingga selatan dan juga Sabah serta Sarawak bersatu menyokong Muhyiddin agar beliau lebih bersemangat bagi memimpin kerajaan pada saat negara berusaha mengatasi COVID-19 yang melanda negara saat ini.


Datuk M. Periasamy merupakan seorang penganalisis politik, budaya dan tamadun India.

Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan sidang pengarang Astro AWANI.