Undi tidak percaya bukan ‘normal’ bagi budaya politik negara

Rakyat beranggapan bahawa tindakan mengemukakan undi tidak percaya terhadap Muhyiddin pada saat ini adalah sesuatu yang sia-sia malah bukan merupakan normal bagi budaya politik rakyat Malaysia. – Gambar ASTRO AWANi/SHAHIR OMAR

BARU-BARU ini, berita berhubung undi tidak percaya terhadap Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri tular di media termasuk media cetak dan media sosial.

Meskipun kerajaan dan rakyat sibuk dengan usaha membenteras pandemik COVID-19 yang melanda negara sejak bulan Mac 2020, tindakan  membawa usul tidak percaya terhadap perdana menteri bukan sahaja menarik perhatian rakyat Malaysia malah pelabur-pelabur asing yang menyaksikan pergolakan politik dalam negara sejak tercetusnya episod Tun Dr Mahathir Mohamad meletakkan jawatan sebagai perdana menteri ketujuh.
 
Antaranya, usul yang dikemukakan oleh Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, selaku Ahli Parlimen Semporna pada minggu lalu, bahawa Dr Mahathir memperolehi sokongan majoriti Ahli-ahli Yang Berhormat Dewan Rakyat yang melayakkan beliau dilantik sebagai perdana menteri ditolak oleh Speaker Dewan Rakyat kerana ia bertentangan dengan Perkara 43 Perlembagaan Persekutuan.
  
Manakala, usul yang dikemukakan oleh Dr Mahathir, selaku Ahli Parlimen Langkawi, yang juga Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) untuk membuat ketetapan bahawa Muhyiddin sebagai Ahli Yang Berhormat Pagoh tidak mempunyai keyakinan majoriti Ahli-ahli Yang Berhormat Dewan Rakyat, diterima oleh Speaker Dewan Rakyat untuk dibahaskan dalam sesi sidang kelak.

Laporan-laporan terhadap usul undi tidak percaya terhadap perdana menteri mencetuskan polemik dalam kalangan rakyat, terutamanya dalam ahli-ahli politik dari kedua-dua belah pihak, baik pemerintah, mahupun  pembangkang.

BACA: Usul percaya kepada Tun M tidak dibenarkan dibawa ke Dewan Rakyat

Sambil ahli-ahli politik begitu ghairah dengan berita tersebut, sebahagian besar rakyat pula didapati tidak mengendahkan usul dikemukakan oleh kedua-dua Ahli Parlimen tersebut pada saat negara sedang berjuang mati-matian mencegah penularan pandemik COVID-19.

  

Soal kehidupan

Rakyat berpendapat bahawa ahli-ahli Dewan Rakyat seharusnya lebih menumpukan perhatiannya terhadap masalah-masalah yang membabitkan soal kehidupan rakyat marhaen yang terkesan akibat penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak bulan Mac 2020, ekoran daripada pandemik COVID-19 dan bukan ghairah bermain politik kepartian tatkala negara berperang menentang musuh senyap COVID-19.

BACA: Dewan Rakyat terima usul undi tidak percaya terhadap Muhyiddin

Dalam pada itu, ada pihak yang berpendapat bahawa usul tersebut akan memberi impak yang lebih negatif daripada positif kepada negara kerana ianya akan menjejaskan perancangan kerajaan untuk memulihkan ekonomi negara yang terkesan akibat pandemik COVID-19.

Memandangkan Muhyiddin didakwa dilantik sebagai perdana menteri dengan majoriti tipis, maka beliau tidak dapat mengelakkan diri daripada menghadapi risiko politik luar jangkaan.

Antaranya, beliau terpaksa menghadapi undi tidak percaya dalam Dewan Rakyat pada bila-bila masa.

Selain itu, ada kemungkinan Ahli Parlimen yang menyokong pencalonan beliau dilantik sebagai perdana menteri tempoh hari akan melompat dari Perikatan Nasional (PN) ke parti pembangkang bagi yang boleh mengurangkan  majoriti beliau, yang boleh menyebabkan beliau terpaksa melepaskan jawatan perdana menteri.
  
Apapun, Muhyiddin adalah perdana menteri yang dilantik berlandaskan lunas-lunas undang-undang negara.

Malah, prestasi beliau sejak mengambil alih tampuk pentadbiran negara, selaku perdana menteri didapati amat memberangsangkan, khususnya kecekapan dan kebijaksanaan beliau dalam mengurus pelan tindakan mencegah pandemik COVID-19.

Pengumuman Pakej Rangsangan Ekonomi yang dilancarkan beliau pula disifatkan antara yang terbaik dalam negara malah dunia.

Kejayaan kerajaan kepimpinan beliau dalam mengawal dan membendung penularan wabak COVID-19 pula mendapat pengiktirafan dunia.

Pada masa yang sama, Pakej Rangsangan Ekonomi yang dilancarkan beliau berjaya memenangi hati dan minda sebahagian besar rakyat kerana ianya merupakan satu pakej menyeluruh yang mengandungi pelbagai pakej khas bantuan kepada rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dan golongan rakyat, baik di bandar mahupun di luar bandar.

Malah Ahli-ahli Parlimen daripada Gabungan Muafakat Nasional (BN), termasuk sebahagian besar Ahli Parlimen daripada Bersatu dan daripada Ahli Parlimen yang keluar daripada PKR, parti yang dipimpin oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim, dijangka bersama Muhyiddin dalam mempertahankan kedudukan beliau untuk terus menjawat jawatan sebagai perdana menteri.

Meskipun MIC kecewa dengan pimpinan PN di atas pengagihan jawatan-jawatan kerajaan  kepada MIC tidak seperti yang diharapkan, MIC, selaku komponan utama BN, malah parti yang menyokong dan bersama Muafakat Nasional, gabungan politik yang menjadi tunjang kepada pembentukan kerajaan PN, tetap menyokong Muhyiddin dalam menghadapi dugaan undi tidak percaya terhadap beliau.

Sistem demokrasi

Dalam pada itu,memandangkan Malaysia merupakan sebuah negara yang mengamalkan  sistem demokrasi berparlimen ala Westminster,  seseorang ahli Dewan Rakyat berhak mengemukakan usul undi tidak percaya terhadap perdana menteri, lebih-lebih lagi Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat (Standing Orders of The Dewan Rakyat ) membenarkan ahli Dewan Rakyat mengemukakan usul (motion) yang dianggap berkepentingan negara termasuk undi tidak percaya terhadap perdana menteri.

Malah undi tidak percaya terhadap perdana menteri pernah dikemukankan oleh Ahli Parlimen beberapa negara luar, termasuk United Kingdom (UK), iaitu negara yang menjadi model kepada sistem demokrasi Westminster.

Namun, rakyat beranggapan bahawa tindakan mengemukakan undi tidak percaya terhadap Muhyiddin pada saat ini adalah sesuatu yang sia-sia malah bukan merupakan normal bagi budaya politik rakyat Malaysia.

Malah ianya merupakan satu tindakan serta permainan politik yang tidak menguntungkan rakyat pada saat negara menghadapi serangan daripada musuh COVID-19 yang mampu mendatangkan maut kepada rakyat dan menjejaskan pembangunan ekonomi negara.


* Datuk M. Periasamy merupakan seorang penganalisis politik, budaya dan tamadun India.

** Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan sidang pengarang Astro AWANI.